Monday 25 June 2012

Bible Sunday message 2012



PESAN HARI MINGGU ALKITAB – 2012


MEMBACA ALKITAB DALAM PESPEKTIF PERJANJIAN


Pewartaan Apostolik Sri Paus Benediktus ke-16 sesudah Perhimpunan Sinode para Uskup yang ke-12 tentang Firman Tuhan (diadakan dari 5 hingga 26 Oktober 2008) telah diterbitkankan pada 30 September 2010. Bertajukkan Verbum Domini (VD) (Firman Tuhan) ia memberi teologi tentang Firman Tuhan dan menghubungkaitkan dengan keadaan semasa dan kepentingan Firman Tuhan didalam kehidupan Gereja dan pelayanan serta misi-nya didunia. Dalam mesyuaratnya pada bulan Februari 2011, Komisi Alkitab Serantau (KAS) memutuskan untuk mendedikasikan pesan tahunan Hari Minggu Alkitab kepada dokumen ini. Oleh kerana dokumen ini kaya dengan pesan KAS mahu menyebarluaskan liputan dokumen ini di tahun-tahun akan datang.

Pesan sempena Hari Minggu Alkitab tahun lalu, KAS telah mengetengahkan keunggulan Firman Tuhan kepada manusia dalam bentuk yang  berbeza memuncak dalam peribadi Yesus Kristus, Firman Tuhan. Firman itu mengundang semua manusia kepada persekutuan dengan Tuhan.
Pesan tahun ini meneruskan refleksi dengan mengetengahkan respon manusia kepada panggilan Tuhan untuk hidup bersatu dengan Dia.


PERJANJIAN DENGAN TUHAN

“Di dalam visi ini, Firman Tuhan berbicara, mencabar dan memanggil  setiap peribadi manusia untuk berdialog dalam kasih melalui respon yang bebas. Oleh itu setiap kita diperbolehkan oleh Tuhan untuk mendengar dan memberi respon kepada Firman-Nya. Kita telah diciptakan dalam Firman dan hidup dalam firman; kita tidak dapat memahami diri kita sendiri kecuali kita terbuka kepada dialog ini. Firman Tuhan menyatakan sifat kewujudan manusia yang akrab dan berhubungan.  Sesungguhnya, kita dipanggil oleh rahmat bersatu dengan Kristus, Anak Bapa dan di dalamnya kita diubah (VD 22).

PERJANJIAN SEBAGAI HUBUNGAN

Pusat pernyataan Tuhan sendiri adalah kehendak-Nya yang dalam di mana Dia ingin semua manusia hidup dengan-Nya dan dengan sesama mereka. Ini merupakan pusat Firman Tuhan dan perbuatan Tuhan.

Bermula dari cerita penciptaan dan firdaus dalam Kej 1-3, Firman Tuhan telah menyatakan bahawa kerana atas dasar kasih, Tuhan telah menciptakan dunia dan mempercayakannya kepada manusia, Dia mahu mereka hidup bahagia – mengalami kebahagiaan bukan kerana mereka dipenuhi dengan berbagai-bagai keuntungan material tetapi disebabkan ada kesetiaan dalam hubungan dan patuh kepada-Nya serta prihatin terhadap satu sama lain. Rencana Tuhan adalah agar manusia mengalami dan mengungkapkan kebahagiaan ini di dalam doa mereka, dalam penyembahan dan kehidupan dalam keluarga, komuniti dan masyarakat.

Firman Tuhan dan tindakan sepanjang zaman amat indah digambarkan di dalam Perjanjian Lama dan Baru. Seluruh Alkitab adalah cerita tentang Perjanjian. Dalam dan melalui Perjanjian, Tuhan menyatakan kehendak yang dalam ini iaitu manusia hidup harmoni dengan-Nya, dengan sesama mereka dan dengan alam ciptaan.


Perjanjian Sinai


Di gunung Sinai, Tuhan telah memeteraikan perjanjian dengan umat Israel (Kel 19:1 – 20:21). Dia menghendaki bahawa Dia menjadi Tuhan mereka dan mereka menjadi umat-Nya. Mereka telah bersetuju. Dia telah memberikan mereka kesepuluh perintah itu untuk membimbing mereka dalam hubungan dengan-Nya dan dengan sesama mereka. Mereka menerima Firman-Nya itu. Ini merupakan dasar pengalaman agama bagi umat Israel. Bangsa menjadi agama – iaitu mereka disatukan dengan Tuhan dan dengan satu dengan yang lain serta dengan ciptaan.


MEMBUKA PERJANJIAN DIDALAM ALKITAB

Atas dasar pengalaman agama ini – Perjanjian Sinai – umat Israel melihat seluruh sejarahnya bermula dari saat penciptaan terutamanya dari zaman Abraham.


Perjanjian dengan Adam


Bila Tuhan mencipta Adam dan Hawa, Dia membuat perjanjian dengan mereka dan mengundang mereka untuk  hidup penuh setia kepada-Nya. Mereka akan menikmati dan menguasai seluruh ciptaan dan mereka menjadi penjaganya supaya ia bertumbuh dan membangun bagi kemuliaan Tuhan (Kej 1:28-30).

Apabila Adam dan Hawa telah memutuskan hubungan itu dan melakukan dosa, Tuhan berjanji kepada mereka seorang yang dilahirkan oleh seorang perempuan yang akan meremukkan kepala si jahat dan segala kejahatannya. Jadi, umat Israel menunggu seseorang yang dijanjikan – Mesias – penyelamat (Kej 3:15)


Perjanjian dengan Nuh


Ketika dunia semakin berdosa, umat Israel mengetahui bahawa air bah bukan sahaja memperlihatkan kelemahan dan dosa yang membawa kepada penghukuman, malapetaka dan kehancuran tetapi dalam situasi  yang menakutkan itu menunjukkan bahawa Tuhan masih mengasihi dan menunjukkan belas kasihan, setia kepada Firman-Nya dan janji-Nya untuk menyelamatkan.
Perjanjian dengan Nuh dan bumi (Kej 6:18; 9:9-17) adalah tanda Firman dan tindakan Tuhan yang menyelamatkan bagi umat Israel. Pelangi  adalah tanda komitmen Tuhan untuk menjaga bumi dan bukan membinasakannya.


Perjanjian dengan Abraham


Umat Israel melihat kehendak Tuhan yang tetap ini terjadi di dalam panggilan Abraham dan janji-janji yang diberikan kepadanya (Kej 12:1-3) dan membaharui dengan anak (Ishak) dan cucu (Yakub).

Catitan sejarah umat Israel dan hubungan perjanjian mereka dengan Tuhan bermula dengan Abraham. Perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan Abraham (Kej 15 dan 17) menjadi asas ungkapan kasih setia dan belas kasihan Tuhan bagi umat Israel dan seluruh dunia. Tuhan akan sentiasa ingat akan perjanjian ini dengan Abraham. Secara perlahan-lahan umat Israel menemui sejarah mereka.  Firman dan tindakan Tuhan adalah penggenapan janjinya yang berterusan dengan Abraham. Mereka adalah keturunan Abraham dan jesteru itu, mereka menyedari bahawa segala janji-janji Tuhan kepada Abraham akan digenapi bagi mereka dan akan berterusan dalam sejarah mereka.

Bila anak-anak Yakub jatuh ke dalam penindasan di Mesir (Kel 1), Tuhan telah mengingati janji-Nya dengan Abraham. Melalui hamba-Nya Musa, Tuhan melakukan tanda-tanda dan karya yang besar di Mesir (Kej 7:1 – 13:16) dan dengan menakjubkan umat Israel dibebaskan dari perhambaan (Kel 13:17-14:31). Tuhan memimpin umat Israel ke padang gurun menuju ke tanah yang dijanjikan di Kanaan – tanah yang dijanjikan oleh Tuhan kepada Abraham yang akan diberikan kepadanya dan keturunannya ( Yos 3:1 – 6:21; ruj Kej 12:7).

Janji Kehidupan di tanah yang dijanjikan


Bila umat Israel memasuki Kanaan tanah yang dijanjikan, perjanjian di Sinai adalah cara hidup mereka di tanah yang dijanjikan (Yos 24).

Para sejarawan umat Israel yang dibimbing oleh Kitab Ulangan melihat tahap kejayaan sejarah umat Israel  itu dari perspektif Perjanjian Sinai. Mereka Berjaya dalam peperangan bila mereka setia kepada cara hidup menurut perjanjian dan mengalami kekalahan bila mereka mengingkarinya.


Perjanjian Daud


Bila umat Israel menjadi sebuah Kerajaan ( 1 Sam 8-12), fungsi Raja bukan sahaja melindungi umat Israel semasa peperangan dan menyedia kebajikan jasmani mereka tetapi juga memerintah negara dalam semangat dan cara perjanjian Tuhan dengan bangsa.

Daud adalah Raja yang cemerlang dalam sejarah kerajaan Israel.Tuhan telah membuat perjanjian yang sangat penting dengan Daud (2 Sam 7:11-17). Dia menjanjikan takhta yang berkekalan kepada Daud. Mesias itu akan datang dari keturunan Daud. Umat Israel mengingati Perjanjian Daud ini dan menunggu kedatangan pengganti Daud  yang akan memerintah selama-lamanya.


Para Nabi dan Perjanjian


Tetapi kebanyakan Raja-raja Israel yang lain tidak setia kepada Perjanjian itu. Selama bertahun-tahun kerajaan itu berlaku perbuatan yang tidak bermoral dan tidak adil.

Dalam situasi ini, Tuhan mengutus para Nabi kepada umat Israel. Para Nabi ini adalah individu-individu yang berhubungan erat sekali di dalam Perjanjian dan mereka senantiasa membawa dan menyeru umat supaya mereka merujuk dan kembali kepada Perjanjian itu. Mereka memberi amaran kepada mereka bahawa jika mereka tidak meninggalkan cara hidup yang tidak bermoral dan tidak adil maka seluruh bangsa akan dibinasakan. Umat Israel tidak mendengar seruan para Nabi. Mereka tidak mendengar Tuhan malah berterusan melanggar Perjanjian-Nya yang kudus. Kerajaan utara Israel teruk ditakhluki Assuria pada tahun 721 S.M.  Kerajaan Yehudah telah dikalahkan dan mereka dibuang ke Babilonia pada tahun 587 S.M. Firman Tuhan telah menjelaskan bahawa bila mereka tidak hidup harmoni dengan Tuhan dan dengan sesama mereka, hukuman jatuh ke atas diri mereka sendiri.


Janji Perjanjian Baru

Namun Tuhan tidak melupakan Perjanjian-Nya dengan umat-Nya. Melalui Yeremiah mereka diberitahu bahawa hari-hari akan datang Dia akan membuat Perjanjian Baru dengan Israel dan Yehudah ( Yer 31:31-33), bukan perjanjian yang ditulis atas kepingan batu tetapi di dalam hati mereka. Dia akan membuka hati mereka yang keras seperti batu dan memberi mereka hati yang  lembut.

YESUS, PERJANJIAN BARU

Janji Yeremiah telah digenapi oleh Yesus. Sto. Paulus memberitahu kita bahawa pada saat yang tepat Tuhan mengutus Anak-Nya sendiri ke dunia. Anak-Nya itu dilahirkan oleh seorang wanita dan hidup di bawah Taurat. Dia diutus untuk membebaskan orang yang hidup di bawah Taurat, supaya kita boleh menjadi anak-anak Tuhan. (Gal 4:4).Yesus memeteraikan Perjanjian Baru itu dengan darah-Nya di atas kayu salib. Dalam perjamuan terakhir, semasa Yesus menubuhkan Ekaristi, Dia telah mengambil roti dan anggur dan berkata, “Inilah Tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Cawan anggur ini Perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu.” (Luk 22:19-20; lihat juga Mat 26:28; Mrk 14:24; Ibr 12:24).

Perayaan Ekaristi kita pada masa kini adalah perayaan agung Perjanjian Baru yang diberikan kepada kita melalui misteri paskah (Kesengsaraan, Kematian, Kebangkitan dan diangkat ke syurga).

Yesus menggenapi Hukum Perjanjian di dalam perintah baru yang diberikan-Nya kepada para Rasul pada perjamuan terakhir. Dia memberitahu mereka untuk saling mengasihi  seperti Dia mengasihi mereka (Yoh 15:12, 17). Dengan saling mengasihi, mereka membangun keharmonian itu yang diingi oleh Tuhan dari awal mula (Kej 1-2). Dalam kasih itu, mereka akan membina syurga baru dan bumi yang baru di mana keadilan akan berkuasa sekali lagi di antara umat-Nya dan menjadi amalan kehidupan mereka (2 Ptr 3:13); Why 21). Kasih para Rasul Yesus ini akan mengubah dan membaharui seluruh bumi.


APPLIKASI DALAM HIDUP KITA PADA HARI INI: PERJANJIAN DAN PERSEKUTUAN

Semangat Perjanjian masih membimbing Gereja pada masa kini  khususnya di dalam Ekaristi.

Konsili Vatikan II merefleksi sifat kehidupan Gereja dan menghuraikan Gereja sebagai cahaya dunia.Tidak ada cahaya lain yang dimiliki oleh Gereja kecuali Yesus sendiri, Cahaya Dunia.


Dalam cahaya Yesus inilah Gereja mengenali diri-Nya sendir sebagai “Persekutuan.” – cara yang amat berkuasa untuk menghuraikan Perjanjian. Hidup Tritunggal haruslah terus menerus menjadi cara hidup kita pada masa kini. Arwah Sri paus Yohanes paulus II menekankan dan Sri Paus Benediktus XVI mengulanginya bahawa untuk menjadikan ini suatu kenyataan kita perlu memiliki dan membangun suatu “Kerohanian berasaskan persekutuan”, yang mana pada dasarnya menghidupi pengalaman Perjanjian dalam Alkitab.


Firman Tuhan yang datang kepada kita melalui Alkitab dan melalui Pengajaran Gereja, mencabar kita supaya menjadi Gereja seperti itu: umat memiliki persekutuan yang mendalam, menghidupinya dalam kehidupan seharian, dalam perbuatan dan dalam perhubungan kerohanian yang bersifat persekutuan. Kita mestilah sentiasa menjadi Umat Ekaristi.

UNTUK REFLEKSI DAN PERBINCANGAN

  1. Apakah maksud Perjanjian Alkitab bagi anda? Apakah pendapat anda bagaimana maksud ini dapat membantu anda berhasil membaca Alkitab?

  1. Melalui perayaan Ekaristi dan penerimaan Komuni Kudus, bagaimana kita dapat bertumbuh secara mendalam setiap hari didalam kerohanian yang bersifat persekutuan – dalam hidup perkahwinan, keluarga, jiran Komuniti Kristian Dasar dan masyarakat kita?

  1. Bagaimana kita dapat menyumbang kearah membangun “syurga dan bumi yang baru”, iaitu mengubah dunia di dalam semangat Yesus?